Friday, December 23, 2011

Berapa lama pembeli lama naik turun MBSA hanya untuk naikkan projek suri puteri ni... Jadi minta jangan perlekehkan usaha pembeli lama.

Kronologi

MEMOHON TINDAKAN SEGERA DARI MAJLIS BANDARAYA SHAH ALAM 

Perkara : Aduan Mengenai Projek Terbengkalai di Tengah-tengah Pusat Bandar Shah Alam Bandaraya Anggerik

 Tapak Projek : Pangsapuri Perkhidmatan Sri Puteri Seksyen 20, Shah Alam Selangor Darul Ehsan

 Masalah : Pembeli ditipu, ditindas, dianiaya secara terang-terangan oleh pihak pemaju, Khidmat Makmur yang menjalankan projek usahasama dengan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

 · Tidak menepati janji untuk menyiapkan projek pada bulan Oktober 2005.

 · MBSA masih gagal menamatkan perkhidmatan pemaju walaupun MBSA sendiri telah mengeluarkan surat notis pembetulan (notice of remedy).

 · Projek yang ditinggalkan menjadi sarang nyamuk sehingga menyebabkan ramai penduduk berhampiran diserang demam denggi, dianggarkan air yang bertakung di dalam bangunan mencecah paras 6 meter

.· Menjadi sarang maksiat dan kutu rayau.

 · Merbahaya kepada penduduk berhampiran kerana terdapat kayu-kayu reput yang masih tergantung di atas bangunan. Pernah jatuh dan hampir mengenai kedai makan yang berhampiran.

KRONOLOGI

 1. 6hb Jul 2006 MBSA telah memanggil beberapa pembeli untuk berdialog dengan Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Ramlan Othman dan Pemaju Khidmat Makmur, Datuk Manan. Pihak Pemaju telah berjanji untuk mengeluarkan laporan semasa mengenai aktiviti projek setiap dua minggu kepada MBSA dan mengemaskini pembeli setiap bulan tetapi gagal.

 2. 16hb Nov 2006 Surat aduan telah dikemukakan kepada Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Ramlan Othman dan salinan kepada MB, Esko perumahan, ADUN Batu Tiga dan Ahli Parlimen Shah Alam, tapi malangnya masih belum ada sebarang respon dari mereka sehingga kini.

 3. 7hb Dis 2006 Surat aduan telah dikemukakan kepada Menteri Besar Selangor, YAB Dato’ Seri Dr Mohamad Khir Toyo dan salinan kepada Datuk Bandar Shah Alam, Esko perumahan, ADUN Batu Tiga dan Ahli Parlimen Shah Alam, masih serupa, juga tidak dilayan.

 4. 15hb Jan 2007 Email telah diajukan kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan. Mendukacitakan, pihak KPKT tidak bertanggungjawab ke atas sebarang projek pangsapuri perkhidmatan kerana ia di luar litupan Akta Pemajuan Perumahan (kawalan & perlesenan) 1966 disebabkan ia masih dianggap sebagai hartanah komersial. Pegawai di KPKT mengesyorkan agar aduan difailkan kepada Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor.

5. 29hb Jan 2007 Email kepada Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor telah diajukan sebanyak 2 kali tetapi tiada respon sehingga kini.

 6. 10hb Feb 2007 Kain rentang telah digantung bagi memanggil pembeli-pembeli yang teraniaya untuk bersepakat berkumpul. Kain rentang hanya bertahan selama 2 hari selepas dirampas oleh pihak MBSA.

7. 24hb Feb 2007 Salah seorang pembeli berjaya berjumpa dengan YAB Menteri Besar Selangor. Mengecewakan, jawapan diberikan, “Selagi MBSA tidak menamatkan perkhidmatan Khidmat Makmur, beliau tidak boleh membuat sebarang tindakan”.

8. 5hb Feb 2007 Surat peguam pula telah diajukan kepada MBSA dan memohon perjumpaan kedua dengan Datuk Bandar.

9. 25hb Feb 2007 Perjumpaan ke-2 dengan Datuk Bandar, Datuk Ramlan Othman bersama pemaju dan pihak bank. Masalah masih belum ada penyelesaian. Pemaju masih memohon lanjutan. MBSA memberi tempoh 3 minggu untuk pemaju mengemukakan pelan tindakan untuk meneruskan projek pembinaan. Tempoh tamat pada 16hb Mac 2007. Datuk Ramlan bersetuju mengadakan mesyuarat semula dengan 3 orang wakil pembeli selepas tarikh tamat tempoh iaitu pada 19hb Mac 2007.

 10. 19hb Mac 2007 Perjumpaan ke-3 diadakan bersama Datuk Bandar dan 3 wakil pembeli, wakil bank, wakil peguam bersama ahli-ahli MBSA. Sekali lagi pemaju gagal mengemukakan sebarang laporan malah memohon lanjutan sehingga 18hb Mei 2007 bagi mendapatkan pemaju lain yang berminat untuk meneruskan projek. MBSA telah memutuskan mengeluarkan notis pembetulan (notis of remedy) untuk tempoh 2 bulan kepada pemaju pada 19hb Mac 2007 dan tamat pada 18hb Mei 2007. Sekiranya gagal, perkhidmatan pemaju akan ditamatkan dan MBSA akan mengambil alih projek.

11. 26hb Jun 2007 Wakil pembeli telah berjumpa dengan pihak MBSA untuk mendapatkan makluman selepas tempoh tamat. Sungguh mengecewakan, MBSA sekali lagi telah melanjutkan tempoh selama 3 bulan tanpa memaklumkan atau persetujuan dari pembeli. Tiada surat atau laporan dikeluarkan kepada pembeli. Mengapa MBSA masih tidak mahu menamatkan perkhidmatan pemaju? Perlukah kami mengadu kepada Pencegah Rasuah? ADILKAH ITU?

12. 5hb Jul 2007 Surat perlanjutan penamatan perjanjian penswastaan antara MBSA dan Khimat Makmur dikeluarkan dan lanjutan diberikan selama 3 bulan mulai 1hb Jun 2007 hingga 30hb September 2007. Tempoh diberikan agar MBSA dan Khidmat Makmur mendapatkan syarikat penyelamat bagi meneruskan projek tersebut.

13. 20hb Jul 2007 TV3 telah membuat liputan di tapak projek dan disiarkan di Buletin Utama. Masih menunggu tindakan susulan.

14. 29hb Jul 2007 Pihak pemberita dari The Star Metro bersama-sama beberapa wakil pembeli telah membuat liputan untuk disiarkan di dalam akhbar The Star.

15. 1hb Ogos 2007 Surat kepada YAB Dato Seri Abdullah Badawi, Dato’ Seri Ong Ka Ting, dan Dato’ Seri Dr Khir Toyo dikeluarkan.

 16. 2hb Ogos 2007 Perjumpaan TV3 dengan Dato Bandar disiarkan di Buletin Utama jam 1.30 tengahari. Tiada maklumat muktamat sehingga pemantauan terperinci dibuat.

17. 2hb Ogos 2007 Liputan di akhbar The Star disiarkan. Dato Bandar mengharap projek dapat dimulakan dalam tempoh 2 minggu.

18. 3hb Ogos 2007 Liputan di akhbar Kosmo disiarkan.

19. 5hb Sep 2007 Balasan email diterima dari MBSA. Penyambungan projek diberikan kepada LTH Construction Sdn Bhd dan projek dijangkakan boleh diteruskan dan dapat disiapkan dalam tempoh 15 bulan dari tarikh pengeluaran pertama.

20. September 2007 Pekerja LTH Construction telah memasuki tapak untuk proses pembersihan.

21. 15hb Nov 2007 Surat dari MBSA dikeluarkan untuk memanggil mesyuarat dengan pembeli pada 23hb November 2007.

22. 20hb Nov 2007 Liputan di akhbar Sinar Harian disiarkan.

23. 23hb Nov 2007 Mesyuarat dengan MBSA diadakan. Hanya membentangkan masalah struktur bangunan yang tidak teguh. Masih tiada kepastian tentang tarikh sepatutnya memulakan kerja-kerja pembinaan.

 24. 27hb Nov 2007 Sekali lagi liputan di akhbar Sinar Harian dikeluarkan. Liputan adalah susulan dari mesyuarat dengan MBSA pada 23hb November 2007 di mana masih tiada hitam putih dan laporan terperinci dari MBSA dan pemaju.

 25. 6hb Dis 2007 Surat dari MBSA dikeluarkan untuk memanggil mesyuarat dengan pembeli pada 28hb Disember 2007. Minit mesyuarat untuk 23 November 2007 dikeluarkan.Mesyuarat dibatalkan pada saat-saat akhir dan ditunda kepada 9hb Januari 2008.

26. 9hb Jan 2008 Mesyuarat dengan MBSA diadakan semula. Pertikaian timbul mengenai butiran minit mesyuarat yang dikeluarkan oleh MBSA tanpa merujuk dan dipersetujui oleh pembeli. Notis mesyuarat dikeluarkan pada saat-saat akhir seperti tidak memberi peluang pembeli menghadiri mesyuarat. Pemaju berjanji untuk memulakan kerja penyambungan pada 18hb Februari 2008. Pembeli nekad untuk membuat tindakan drastic sekiranya kerja-kerja penyambungan tidak dimulakan seperti yang dirancangkan.

 27. 18hb Feb 2008 Pekerja-pekerja Khidmat Makmur memulakan tugas-tugas pembersihan. Proses pembersihan terlalu perlahan dan kadang-kadang terhenti tanpa sebab.

28. 18hb Mac 2008 Minit Mesyuarat untuk 9hb Januari 2008 dikeluarkan.

29. 4hb Apr 2008 Mesyuarat bagi menghuraikan masalah-masalah projek tertangguh telah diadakan bersama YB Rodziah, wakil YB Ir Khalid Samad, Datuk Bandar, Pengarah MBSA dan wakil pembeli di Bangunan SSAAS. Minit mesyuarat dilampirkan.

KESIMPULAN

1. KETIDAKADILAN DI ANTARA PEMBELI / PEMAJU / PENGELOLA 

- Pembeli ditindas oleh pemaju, Khidmat Makmur yang dianggap penyangak di siang hari.

- Pembeli dibiarkan terkapai-kapai seperti digantung tidak bertali oleh pihak pengelola, Majlis Bandaraya Shah Alam.

- Rakyat dianggap merimaskan ketika menyuarakan masalah kepada Kementerian.

- Masalah rakyat dianggap remeh oleh Exc-Exco Kerajaan.

- Pembeli terpaksa meneruskan pembayaran kepada pihak pemberi pinjaman iaitu purata pembayaran RM 1000++ sedangkan sewa rumah juga terpaksa dibayar.

2. DIANIAYA OLEH BANGSA BUMIPUTERA SENDIRI 

- Bagaimana bangsa melayu hendak menyokong Syarikat Bumiputera, sedangkan mereka sanggup menganiaya bangsa sendiri.

- Sekiranya gagal meneruskan projek dan diisytiharkan muflis, projek akan diserahkan kepada Amanah Raya Berhad. Apa yang akan terjadi kepada pembeli yang teraniaya? Apa pula yang akan terjadi kepada hutang pembeli?

3. DIANIAYA OLEH KERAJAAN SEBAGAI PENGELOLA

- Pihak MBSA sebagai tuan punya tanah tidak dapat membuat apa-apa tindakan ke atas pemaju, di manakah integriti mereka?

- Pembeli dianiaya dan ditipu kerana jualan disokong kuat oleh badan berkanun, Majlis Bandaraya Shah Alam. Di manakah letaknya kuasa mereka sebagai badan kerajaan?

- Pihak MBSA yang sepatutnya memainkan peranan kerana projek pembangunan ini dijalankan di atas tanah MBSA tetapi mereka gagal, di mana letaknya maruah mereka yang mengwar-warkan piagam pelanggan yang begitu indah dipamerkan di dalam pejabat dan laman web mereka.

- Adilkah tindakan mereka, terus-terusan memberi peluang kepada penyangak seperti pemaju tanpa memikirkan masalah pembeli yang berhutang dengan bank?

- Adilkah mereka dengan membiarkan nyamuk terus-terusan membiak di tapak tersebut? Apa akan terjadi sekiranya seekor jentik-jentik didapati di dalam rumah? Saman akan dikeluarkan. Apa pula tindakan terhadap kerajaan yang menjadi penternak nyamuk?

 4. PEMBELI TIDAK DAPAT MEMBUAT PINJAMAN LAIN 

- Pembeli tidak dapat mengeluarkan wang KWSP kerana tiada sesiapa yang sanggup mengesahkan bahawa projek tersebut benar-benar terbengkalai. Tanpa pengesahan, tiada pengeluaran wang KWSP dibenarkan.

- Bagaimana dengan masa depan kami, adakah sampai mati kami hidup di dalam rumah sewa???

5.  KESELAMATAN 

- Merbahaya dan menakutkan. Keadaan kayu reput yang masih tergantung dan terletak di atas bangunan berayun-ayun dan pernah jatuh serta hampir mengenai kedai makan berhampiran. Perlukah kecelakaan berlaku, baru semua pihak membuka mata? Perlukah kami membuktikan kepada semua pihak bahawa kawasan itu juga menjadi tempat maksiat atau kutu rayau?

- Kami amat pasti akan ada nyawa yang melayang ibarat ‘retak menunggu belah’ kerana kawasan itu bertentangan dengan rumah penduduk dan menjadi laluan utama pengguna jalan raya.

6. HARAPAN BARU DARI KERAJAAN BARU NEGERI SELANGOR

- Dapat membuktikan bahawa kerajaan baru mampu membela rakyat seperti kami di mana telah sekian lama terumbang-ambing dan ditipu oleh kerajaan BN.

- Dapat memulangkan semula hak asal yang sepatutnya diperolehi oleh rakyat.

- Membalas jasa-jasa pengundi-pengundi yang sememangnya hilang kepercayaan terhadap pemerintahan kerajaan lama.

TAHNIAH KERAJAAN SELANGOR KERANA DAPAT MENYELAMATKAN 
PROJEK  TERBENGKALAI SURI PUTERI





Share this article now on :

0 comments:

Post a Comment