Monday, January 17, 2011

Selangor komited selesaikan projek terbengkalai

YAB. Dato Menteri Besar Selangor, Tan Sri Dato Sri Abdul Khalid Ibrahim menyerahkan replika anak kunci kepada pemilik bangunan kedai/pejabat Suri Puteri,Sekysen 20 Shah Alam bagi menyempurnakan acara perasmian ini

Turut hadir pada majlis perasmian dan penyerahan kunci ini ialah Dato Bandar Shah Alam, Ybhg Dato Mazalan Md. Noor, Exco Kerajaan Negeri Selangor, YB Puan Rodziah Ismail dan YB. Tuan Haji Yaakob Sapari serta Ahli Parlimen Shah Alam, YB. Tuan Ir Khalid Samad

Menteri Besar menyerahkan kunci kepada pembeli

SHAH ALAM, 17 Jan – Kerajaan negeri serius dan komited dalam menyelesaikan masalah projek terbengkalai dengan melantik kontraktor baru bagi menyelamatkan projek yang telah beberapa tahun tertangguh.

Menurut Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim, kerajaan negeri prihatin terhadap nasib pembeli dan ini dibuktikan dengan siapnya fasa pertama projek Suri Puteri, di mana bangunan pejabat itu kini sudah boleh diduduki.


MB bersama pemaju dan pembeli meninjau bangunan rumah kedai sebaik selesai majlis penyerahan kunci bangunan pejabat itu kini sudah boleh diduduki.


Khalid beramah mesra dengan pembeli

“Saya berterima kasih kepada pembeli yang memberi kepercayaan kepada kerajaan negeri untuk meneruskan projek ini dan insya-allah, kita akan berikan apa yang kita bincangkan dan janjikan, ” kata Menteri Besar pada majlis penyerahan 67 kunci kedai, pejabat Suri Puteri, di Seksyen 20 Shah Alam, petang semalam.

Pembangunan Suri Puteri merupakan projek pengswastaan di bawah Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) merangkumi 67 lot kedai, pejabat dan 312 pangsapuri perkhidmatan.

MB bersama pemaju dan pembeli meninjau bangunan rumah kedai sebaik selesai majlis penyerahan kunci

Projek tersebut dimulakan pada tahun 2003 dan dijangka boleh diduduki pada tahun 2005, namun ekoran daripada masalah kewangan yang dihadapi syarikat pemaju, ia tidak dapat diteruskan sehinggalah kerajaan negeri melantik kontraktor penyelamat pada tahun 2009.

Majlis tersebut turut dihadiri Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad, Adun Batu Tiga, Rodziah Ismail, Adun Kota Anggerik, Dr Yaakob Sapari dan Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Mazalan Md Noor.

Sumber: http://www.selangorkini.com.my/my/


Ucapan
YAB TAN SRI DATO' SERI ABDUL KHALID BIN IBRAHIM DATO' MENTERI BESAR SELANGOR

Pada

MAJLIS PERASMIAN PANGSAPURI SURI PUTERI, SEKSYEN 20 SHAH ALAM

Tarikh

16 JANUARI 2011 (AHAD) 11 SAFAR 1432

Tempat

PANGSAPURI SURI PUTERI SEKSYEN 20 SHAH ALAM


Masa

5.00 PETANG

Bismillahirrahmanirrahim,Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam kepada junjungan besar Muhammad Sallallahualaihiwassalam, keluarga dan sahabat baginda.Yang Berhormat Tuan Iskandar binAbdul Samad, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan,Yang Berhormat Puan Rodziah binti Ismail, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains,Teknologi & Inovasi dan Kebudayaan, merangkap Ahli Dewan Negeri Batu Tiga,Yang Berusaha Ahli-Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan,Yang Berbahagia Para Pemimpin Masyarakat, Para Penghuni
Pangsapuri Suri Puteri dan Penduduk Sekitar,Yang Dihormati Datuk-Datuk, Datin-Datin, serta Wakil-Wakil Media Massa,

Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang Budiman. Syukur Alhamdulillah kerana pada petang yang berbahagia ini kita dapat bersama, khususnya dengan bakal penghuni Pangsapuri Suri Puteri yang saya sempurnakan perasmiannya sebentar lagi. Memang bakal pemilik sewajarnya bersyukur dan berbangga kerana projek pembinaan yang sekian lama diabaikan, akhirnya pada hari ini dirasmikan pembinaannya kembali.

Bukanlah kita sengaja hendak mengungkit-ungkit kesilapan kerajaan terdahulu dalam hal menyelesaikan permasalahan yang dideritai oleh rakyat dalam hal untuk memiliki rumah sendiri. Namun, inilah hakikat atau perkara sebenar yang berlaku, yang terpaksa ditanggung oleh sebilangan rakyat yang menaruh harapan tinggi untuk memiliki tempat kediaman sendiri.

Para Hadirin yang Dihormati,Sejak tahun 2008, iaitu setelah Pakatan Rakyat menerajui pentadbiran negeri Selangor, sedikit demi sedikit pelbagai masalah yang ditinggalkan oleh kerajaan terdahulu, dapat kita selesaikan dengan cekap dan berkesan. Kita sedar betapa perlunya untuk memastikan segala masalah ini dapat diselesaikan secepat mungkin, sambil kita bertungkus-lumus melaksanakan agenda-agenda baharu untuk menjadikan Selangor sebagai negeri berkebajikan dan mesra rakyat.

Dalam hal perumahan ini, pada awal pemerintahan Kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor, kita berhadapan dengan 144 projek perumahan terbengkalai. Sehinggakan ada sebilangan bakal pemilik menunggu “rumah tak siap” selama lebih 20 tahun. Angkara siapakah ini? Ini semua adalah angkara kerajaan terdahulu yang kononnya sudah berpengalaman memerintah 50 tahun tetapi ternyata mengabaikan kepentingan rakyat, terutamanya golongan berpendapatan rendah dan sederhana yang berhasrat memiliki rumah sendiri. Menurut laporan, sebilangan pembeli rumah sangat teraniaya bertahun-tahun lamanya lantaran dibebani hutang pinjaman sedangkan rumah yang ditempah didapati terbengkalai.

Kerajaan Negeri sekarang, dengan kerjasama agensi dan pihak yang prihatin cuba menyiapkan 58 projek terbengkalai dalam masa yang ditetapkan. Jika kita dapat selesaikan 30 peratus daripada 144 projek itu dalam penggal ini, ia sebenarnya bolehlah dikira sebagai suatu pencapaian yang baik.

Para hadirin yang Berbahagia, Pangsapuri Suri Puteri merupakan antara projek perumahan terbengkalai yang sedang diusahakan kembali oleh pihak Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Selangor. Pembinaan pangsapuri ini dimulakan oleh syarikat Khidmat Makmur Sdn Bhd pada 10 September 2003, dengan anggaran kos pembinaan projek sebanyak RM40 juta. Namun, projek ini yang sepatutnya siap pada 18 Oktober 2005, gagal dicapai dan jadi terbengkalai, dengan binaan yang siap sekitar 40 peratus sahaja.

Antara alasan yang diberikan oleh pihak pemaju berhubung kelewatan tersebut adalah:

i. Kenaikan harga bahan keluli yang mendadak menyebabkan kos pembinaan meningkat.


ii. Syarikat menghadapi masalah dengan pekerja-pekerja asing.


iii. Harga bahan binaan yang lain seperti simen, papan lapis dan paku yang juga meningkat dengan mendadak.


iv. Masalah syarikat dengan kontraktor utama (Borneo Perkasa Sdn. Bhd.).


v. Prestasi jualan pangsapuri tidak memberangsangkan.

Disebabkan kenaikan harga barang binaan, pihak syarikat menganggarkan kos pembinaan keseluruhan projek berkenaan meningkat daripada RM40 juta kepada RM59 juta. Pada 15 April 2008, kirakira sebulan selepas Pakatan Rakyat menerajui pemerintahan negeri Selangor, Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) menerima cadangan daripada syarikat Semangat Ulung Sdn. Bhd. bagi meneruskan projek ini. Kemudian, pihak Majlis melaporkan masalah berkaitan projek ini kepada Pihak Berkuasa Negeri melalui Mesyuarat Kerajaan Negeri dan Majlis Tindakan Ekonomi Selangor. Cadangan mengambil alih projek ini telah dibentangkan dalam mesyuarat pada 26 November 2008.

Akhirnya, pada mesyuarat 3 Disember 2008, dipersetujui supaya kesemua Pengarah dalam Syarikat Ulung Sdn. Bhd. dan Khidmat Makmur Sdn. Bhd. memberikan jaminan peribadi bagi memastikan projek berkenaan dapat disiapkan. Seterusnya, perjanjian bagi memulih dan menyiapkan projek tersebut ditandatangani pada 31 Disember 2008. Syarikat berkenaan memasuki tapak pada Ogos 2009. Tarikh pangsapuri dijangka siap adalah pada Februari 2012. Syarikat kini sedang menyiapkan bangunan kedai dan pejabat dan pada masa yang sama menyambung semula kerja pembinaan bangunan pangsapuri. Selain itu, rumah contoh dan pelancaran jualan turut diusahakan.

Para Hadirin yang Berbahagia, Kita wajar berkeyakinan bahawa perancangan yang kukuh dan perlaksanaan yang mantap membolehkan apa-apa masalah yang timbul dapat diselesaikan dengan jayanya. Kerajaan Negeri Selangor sekarang sedia melakukan perubahan penting daripada segi dasar,pelaksanaan dan pencapaian bagi membalas kepercayaan kebanyakan rakyat yang memberi undi kepada parti-parti dalam Pakatan Rakyat pada Pilihan Raya ke-12 lalu.

Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat Selangor berusaha gigih untuk “membahagiakan dan menyejahterakan” rakyat menerusi pelbagai program bantuan dan pembangunan dalam agenda “Merakyatkan Ekonomi Selangor”, yang kini memasuki fasa ketiga. Kerajaan Negeri kini memberi keutamaan dan penekanan untuk mewujudkan bandar dan kawasan kediaman yang selesa dan selamat. Hari ini kita dapat lihat pembangunan berlebihan berlaku sehingga menyebabkan kesesakan melampau di sesetengah tempat. Ia terjadi kerana pentadbiran kerajaan sebelum ini membenarkan pemaju swasta membina bangunan semata-mata untuk keuntungan tanpa perancangan teratur dengan mengambil kira kesan seperti kesesakan, kekurangan kawasan letak kereta dan isu-isu lain seperti perparitan, longkang dan kawasan pembuangan sampah.

Kerajaan Negeri Selangor juga menekankan penghijauan bandar, kelestarian alam sekitar dan negeri secara menyeluruh. Perubahan dirancang dilaksanakan di kawasan seperti Petaling Jaya dan AmpangJaya melalui beberapa projek untuk mendorong ekonomi setempat dan lebih penting bagi mewujudkan persekitaran selesa untuk kediaman dan tempat bekerja.

Akhir kata, saya mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada semua pihak yang bertungkus lumus menjayakan majlis pada hari ini. Ucapan terima kasih juga ditujukan kepada semua yang hadir meraikan majlis ini. Semoga Allah merestui usaha kita demi manfaat bersama.

Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya dengan sukacitanya merasmikan Pangsapuri Suri Puteri Seksyen 20 Shah Alam.

Wassalamaulaikum warahmatullahi wabarakatuh, Selamat sejahtera dan Salam muhibah.


Share this article now on :

0 comments:

Post a Comment