Sunday, January 23, 2011

Hishamuddin juara Kuiz Mega Telebriti 2004

Hishamuddin ( tengah ), Norainon dan Ali bersama hadiah masing-masing.

Oleh: Khairull Azleyana Ishak

Jawapan Athens bagi soalan ‘ Dimanakah destinasi Sukan Olimpik 2004 akan berlangsung menjadi penentu pemilik sebuah Apartmen Perkhidmatan bernilai RM 161,868 yang ditawarkan menerusi Kuiz Mega Telebriti 2004, TV2, RTM.

Peneroka dari Felda Bersia Gerik Perak, Hishamuddin Hussin, muncul juara keseluruhan menewaskan dua lagi peserta akhir iaitu Norainon Abdul Samat dan Ali Moktar Jamil ternyata tidak dapat menahan kegembiraannya.

Ternyata usaha menonton dan mengumpul soalan yang dikemukakan menerusi rancangan secara langsung Telebriti selama lebih setahun, membawa kenangan manis yang tidak dapat dilupakannya.

Perbezaan dari segi format membuatkan beliau dan keluarganya tidak pernah terlepas peluang menonton kuiz Telebriti setiap minggu.

“ Saya tertarik dengan format rancangannya yang berbeza daripada rancangan hiburan lain sebelum ini, “ ujar Hishamuddin yang menyifatkan penyertaannya bermula daripada hanya minat menonton rancangan itu.

“ Kami sekeluarga mengumpul soalan yang diajukan pengacara setiap minggu dan cuba mencari jawapan dengan tepat. Sebanyak 37 keping poskad dihantar kepada penerbit dalam masa setahun dan saya tidak sangka rezeki ini menjadi milik saya, “ kata Hishamuddin.

Bak kata pepatah jika tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya, begitulah gambaran yang tepat untuk keluarga Hishamuddin yang selain beliau, ibu saudaranya Norainon juga berjaya masuk ke peringkat akhir yang berlangsung pada minggu lalu di Auditorium Perdana, Angkasapuri.

Norainon berjaya menjawab soalan kedua yang diajukan pengacara Bob Lokman iaitu ‘ Siapakah bekas menteri Kabinet wanita yang pertama negara ?

Bersama dengan jawapan Tan Sri Fatimah Hashim, Norainon mengegarkan Auditorium Perdana dengan sorakan penonton apabila beliau memenangi sebuah kamera digital jenis XL bernilai RM 16,888 sumbangan Canon Marketing Malaysia Sdn. Bhd.

Bagaimanapun , Ali Moktar, petugas di Balai Polis Bandar Hilir, Melaka, tetap pulang dengan hadiah ketiga bernilai RM 10,000 sumbangan Fornine Marketing walaupun tidak dapat menjawab sebarang soalan.

Untuk Kuiz Mega Telebriti, penonton perlu mengumpul setiap soalan bermula dari minggu pertama hingga minggu ke 49 dan dihantar menggunakan poskad.

Hadiah disampaikan Pengerusi Eksekutif Khidmat Makmur Sdn Bhd, Datuk Manan Md Said, wakil Canon Marketing Sdn Bhd, Simon Wong dan wakil Fornine Marketing, Yap Mooi Loong.

Sebelum itu, penonton di auditorium turut memeriahkan Kuiz Mega Telebriti ini dengan dua segmen utama iaitu Karaoke dan Segmen Filemania dan Spontan bersama Siti Nurhaliza, Rosyam Nor dan Maya Karin.

Format rancangan akhir ini agak berbeza apabila penonton diminta membawa telefon bimbit masing-masing dan menghantarkan butiran mereka menerusi SMS. Sepuluh penonton bertuah terpilih untuk berkaraoke bersama Siti dan melakonkan aksi dalam filem terbaru Pontianak Harum Sundal Malam dan Berlari Ke Langit bersama Maya dan Rosyam.

Telebriti yang sudah berlangsung melebihi lima tahun ini ternyata mempunyai peminatnya yang tersendiri apabila rating penonton program hiburan ini setiap minggu melebihi sejuta orang.





Share this article now on :

0 comments:

Post a Comment